Thursday, June 16, 2011

panduan solat sunat gerhana.



PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA & KHUTBAHNYA

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

*ensiklopediamuslim*

Cara & Bilangan Rakaat
Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;
i.               Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyamyang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana).  Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang.  Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat).  Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

ii.             Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.  Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

iii.            Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa.  Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)
Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu.  Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)
1.         Takbiratul Ihram.
2.         Membaca doa iftitah.
3.         Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4.         Membaca surah al-Fatihah.
5.         Membaca surah dalam qiyam pertama.  Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6.         Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7.         Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8.         Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9.         Iktidal.
10.        Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11.        Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12.        Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13.        Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)
1.         Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2.         Membaca surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3.         Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4.         Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah.  Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5.         Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6.         Iktidal.
7.         Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8.         Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9.         Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10.        Membaca tasyahhud akhir.
11.        Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

*sumber ; fakulti tamadun islam UTM.

No comments: